Monday, October 6, 2008

PENGALAMAN MENGAJAR DI SEKOLAH

Tanggal 22 September bersamaan 22 Ramadhan hari Isnin merupakan tarikh keramat buat kami bertiga, menjadi pengalaman berharga serta kenangan yang tidak akan pernah luput dari ingatan kami sampai bila- bila.

Hari tersebut merupakan hari bersejarah buat kami mengajar, di sekolah yang melakar pelbagai kisah suka dan duka kehidupan menimba ilmu pengetahuan.

Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Dato’ Harun merupakan tempat bagi Ustazah Salina bt Busrowi mencurahkan ilmu kepada murid- muridnya. Diatas ‘kekreatifan’ ustazah mengajar kami bagi subjek Teknologi Pendidikan Islam, telah membawa kami ke sekolah ini untuk mempraktikkan seterusnya menguji bahan modul yang telah siap dibina unutk dijadikan bahan pengajaran sebenar di bilik darjah.

Sungguh tidak disangka-sangka akhirnya kami dapat juga menjadi ‘guru sementara’ sebelum latihan mengajar sebenar nanti. Sekurang- kurangnya program turun mengajar di sekolah itu menjadi pra praktikal bagi kami semua. Maklumlah di UM tiada pra praktikal disediakan tidak seperti di UKM. Namun itu tidak menjadi halangan bagi kami. Kekurangan yang ada kami anggap sebagai cabaran dan dorongan untuk melakukan yang terbaik.

Kesihatan yang kurang memuaskan saya dan siti Wahkhidah tidak melunturkan semangat kami untuk meneruskan tugasan ini. Sudahlah waktu itu di bulan Ramadhan ditambah pula kesihatan kurang baik hampir-hampir sahaja melemahkan kami. Namun apabila berdepan dengan pelajar- pelajar yang pelbagai ragam telah menguatkan semangat kami. Maklumlah modul yang dibuat bersama menjadi bahan eksperimen pula di sekolah pada hari tersebut, benar- benar menguji kemampuan kami sebagai bakal guru.

Kami berusaha dengan bersungguh- sungguh sekalipun dirundung suram. Proses pengajaran dan pembelajaran yang tidak dapat dilaksanakan sebagaimana yang direncanakan telah menjadikan kami ‘tiba-tiba kreatf’ hehe. Kami selalu mendengar kata- kata pensyarah dalam bilik kuliah katanya lebih kurang begini, “kita sebagai bakal guru kena menjadi guru yang kreatif, cuba bayangkan jika kamu ditempatkan di sekolah yang tidak punya kemudahan yang cukup, bagaimana?....” itulah antara bait- bait nasihat yang masih kami ingat sampai sekarang. Apabila kami berdepan dengan situasi tersebut, barulah kami dapat menghayati apa maksud sebenar kata- kata itu.

Benarlah ungkapan yang berbunyi, berkata tidak semudah menghadapinya. Namun kami tetap ‘cool’ berdepan dengan keadaan cemas itu. Maklumlah ‘cikgu baru’ lah katakan, kami tetap ‘control ayu’, walaupun hampir sahaja menggelabah, kami ‘cepat mesra suasana’ dengan kata lainnya bijak mengawal keadaan. Segalanyanya berjalan secara manual tanpa menggunakan sebarang kemudahan canggih yang sediada.

Akan tetapi inilah cara yang digunakan guru- guru terdahulu, tetapi mereka masih mampu melahirkan manusia yang berguna. Jika dibandingkan kita dizaman sekarang jauh lebih bertuah. Pelbagai kemudahan di sediakan bagi memudahkan proses P&P. Tetapi ada juga dikalangan guru- guru tidak memanfaatkan sepenuhnya kemudahan tersebut. Alangkah ruginya. Namun IT bukanlah segala-galanya. Ia tidak lebih hanya sebagai alat bagi memudahkan suatu pekerjaan. Apa yang lebih penting dan seharusnya ada pada seorang pendidik adalah sekeping jiwa yang benar- benar ikhlas menyampaikan ilmu kepada anak muridnya. Andai sifat ikhlas sudah tiada maka lihatlah generasi yang akan lahir nanti bagaiamankah bentuknya? Sama-sama kita fikirkan.

Kelas sederhana yang diberi untuk kami menjalankan operasi mengajar pada hari tersebut sangat menyeronokkan. Pelbagai gelagat dan reaksi murid- murid yang kami saksikan. Ada yang terlebih aktif, tidak kurang juga yang kurang mengambil perhatian dan juga yang suka menarik perhatian guru.

Namun ustazah tetap mahukan kami menggunakan modul yang telah disiapkan. Maka terpaksalah kami mengajar dua kelas pada petang itu. Huh penat juga rasanya. Tapi puas hati. Namun kelas kedua yang diberi oleh ustazah untuk mengajar lebih lemah dari kelas yang pertama tadi. Kami mengajar, mereka buat selamba je. Tapi itulah dugaan yang harus kami tempuhi. Kami cuba bayangkan kalau sudah menjadi guru sebenar nanti lagi berat tanggungjawabnya. Ini baru jadi ‘guru olok-olok’ dah tak larat. Kami dapat bayangkan betapa besarnya pengorbanan guru-guru kita yang telah mendidik kita dari dahulu sampai sekarang. Alangkah besarnya pahala dan pengorbanan yang diberikan. Tidak terbalas dengan harta dan wang ringgit.

Akhirnya peoses mengajar pada petang itu selesai sekitar jam 5.00 petang. Walaupun penat, namun pengalaman mengajar itu tetap terpahat dalam memori kami buat selamanya. Kami dapat mengenalpasti beberapa kelemahan yang dilakukan sepanjang proses P&P serta akan memperbaiki dan meningkatkan lagi kemampuan mengajar hasil dari rakaman video yang kami lakukan.

Sekian, wassalam.

No comments: