Assalamualaikum warahmatullahiwabarokaatuh…
Rupanya tidak mudah ingin bergelar seorang pendidik. Pendidik yang tugasnya tidak hanya menyampaikan ilmu bahkan membentuk batang tubuh murid menjadi seorang manusia bukanlah tanggungjawab yang boleh dipandang sebelah mata.
Selama hampir empat tahun kami di bumi bertuah ini, uni perdana yang kami cintai. pelbagai pengalaman yang digarap mematangkan kami, hamba yang kerdil di bumi penuh rahmat ini. Namun pelbagai halangan, rintangan, suka duka yang dilalui amat berharga buat kami jadikan bekalan untuk menghadapi dunia penuh pancaroba, dunia realiti apabila kami bakal bergelar menjadi seorang pendidik kelak.
Sejak kami mengambil subjek Teknologi Pendidikan Islam ini bermacam-macam perasaan berbaur di jiwa ini. Maklumlah kami bukanlah ‘expert’ sangat tentang IT ni. Namun semangat yang berkobar- kobar serta inkuiri yang menjulang tinggi telah membakar semangat kami untuk terus mendalami subjek ini. Ditambah pula dengan pengajaran ustazah yang berkesan menjadikan proses P&P sangat menyeronokkan. Maklumlah ustazah banyak penagalaman tambahan pula secara realiti memang terlibat dengan dunia pendidikan terutamanya di sekolah membuatkan kami begitu teruja untuk mendengar curahan ilmu berharga dari ustazah. Sedikit-sebanyak memberi gambaran kepada kami bagaimana dunia sebenar di alam persekolahan nanti ketika bergelar ustazah.
Bercerita tentang pengalaman menyediakan bahan dalam subjek ini memanglah amat menguji keupayaan kami sebagai pendidik. Setelah hampir empat tahun belajar tentang pendidikan, sekarang tibalah masanya kami mencurahkan ilmu yang kami pelajari untuk diterjemahkan dalam bentuk sebenar.
Kami masih ingat hari pertama kuliah kami diberi tugasan, menggelabah kami dibuatnya. Mana tidaknya segalanya terpaksa kami lakukan dalam tempoh yang pantas. Setelah selesai melaksanakan tugasan dalam tempoh waktu yang yang ditetapkan dan setelah di komen oleh ustaz dan ustazah pada masa itu barulah kami nampak kelemahan- kelemahan yang selama ini kami tidak sedari. Mencari bahan pengajaran dan pembelajaran dalam internet dalam masa yang sama membentuk bahan P&P dalam bentuk ‘power point’ yang menarik benar-benar menguji kemampuan kami sebagai pendidik.
Pada masa itu barulah kami dapat hayati apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan ‘segalanya dihujung jari anda’ ungkapan yang biasa kami dengar di televisyen dan di corong- corong radio. Nak tergelak pun ada masa itu. Namun hari demi hari selepas melalui beberapa siri kuliah barulah kami faham apa yang ingin disampaikan oleh ustazah. Terus- terang kami nyatakan disini, kuliah pertama dan kedua kami masih ‘blur’ lagi, tapi yang menariknya setelah kumpulan kami antara kumpulan pertama yang dipuji oleh ustzah kerana berjaya membuat ‘point yang power’ telah menaikkan semangat kami. Terima kasih ustazah kerna memuji kami dengan ikhlas siap bagi markah lagi hehe. Betullah kata ustaz dan ustazah sebelum ini, murid-murid kalau dipuji memang bersemangat bahkan subjek yang tidak diminati boleh jadi subjek yang paling diminati. Insyaallah jika kami dah berjaya menjadi pendidik yang telah ditauliahkan nanti kami akan cuba praktikkan segala ilmu yang dicurahkan oleh ustaz dan ustazah yang mana kadang-kala ilmu itu tidak terdapat dalam mana- mana buku, bahkan ia sebenarnya lahir dari ‘madrasah pengalaman’ yang tidak ternilai harganya.
Selain itu antara lain pengalaman yang tidak kami lupakan semasa diberi tugasan menyiapkan modul pengajaran dan pembelajaran. Memang susah jugalah tetapi dengan berkat kerjasama antara ahli kumpulan kami terutamanya siti dan fizah mereka banyak membantu dalam menyiapkan modul tersebut. Fizah yang memang handal bab-bab power point ni sentiasa membuat kami bangga dengan hasil kerjanya yang memang sentiasa menarik perhatian kami. Siti pula tidak kurang hebatnya dalam membuat RP dia antara ahli kumpulan kami yang pakar dalam menyiapkan rancangan pengajaran ni. Saya pula ditugaskan bab-bab mencari bahan dalam internet dan juga cerita- cerita ‘best’ untuk dijadikan bahan induksi. Masing-masing ada kepakaran tersendiri. Itulah yang dinamakan anugerah Tuhan. Setiap orang ada kelebihan dan kekurangan. Walaunpun tidak dinyatakan secara rasmi tentang pembahgian tugas-tugas antara kami, tetapi masing- masing seolah-olah faham akan kecenderungan masing-masing. Namun itulah lumrah hidup tiada yang sempurna, masing- masing saling melengkapi antara satu sama lain.
Membuat modul pengajaran tidak mudah rupanya. Barulah kami dapat merasai bagaimana beratnya tugas seorang guru atau pendidik. Yang ditugaskan pada kami ini secara berkumpulan, sedangkan guru- guru menyiapkannya secara bersendirian. Akan tetapi inilah latihan awal bagi kami bagi menyiapkan diri untuk berdepan dengan cabaran yang lebih getir lagi dimasa akan datang.
Itulah serba sedikit pengalaman kami dalam menyiapkan tugasan yang telah diamanahkan, pelbagai suka duka kami lalui bersama. Kini kami abadikannya dalam tulisan ini agar dapat dikenang sampai bila- bila, menjadi pengajaran dan pengalaman buat kami semua.